Jika dibandingkan dengan negara jiran terhampir iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura, ternyata Malaysia yang terakhir menerima kunjungannya. Walau bagaimana pun, keterujaan menantikan kehadirannya memang berbaloi kerana Honda Civic 2016 ini tampil dengan banyak kelainan dan pembaharuan berbanding model sebelum ini.
Bagi pasaran Malaysia, Honda Malaysia menawarkan tiga varian iaitu model asas 1.8S, spesifikasi pertengahan 1.5 Turbocharged (TC) dan spesifikasi tertinggi 1.5 Turbocharged Premium (TC-P). Dengan harga atas jalan yang kompetitif, pastinya Civic 2016 ini berupaya memberikan saingan yang hebat di bawah segmen-C.
Walau bagaimana pun, turbo yang digunakan bagi Civic ini bukanlah seperti turbo konvensional, dan jangan mengharapkan ia ada ‘turbo kick’ seperti mana kebanyakan jentera turbo yang lain. Biar pun ia hanya turbo berkapasiti kecil, namun terjahan kuasanya mampu menyamai enjin 2.4 liter. Itulah yang dinyatakan oleh Osamu Takezawa selaku Assistant-Large Project Leader (A-LPL) bagi Civic 2016 dalam sesi temubual eksklusif semalam.
Menurut Takezawa-san lagi, bagi 1.5 Turbo ini, selain kuasanya telah diperhebatkan, enjin ini turut disokong oleh sistem Dual-VTC yang membantu meminimakan sisa gas di dalam silinder. Selain itu, turbin berdiameter kecil juga turut membantu meningkatkan lagi responsif enjin.
Speksifikasi Honda Civic 2016
Dan buat pertama kalinya di Malaysia, Honda Civic 2016 akan muncul dengan lampu utama dan lampu kabus hadapan LED untuk spesifikasi tertinggi 1.5TC-P. Manakala varian 1.8S dan 1.5TC dipadankan dengan lampu utama projektor halogen dan lampu kabus hadapan halogen. Namun ketiga-tiganya menerima lampu nyalaan siang LED. Selain itu, pemegang pintu luaran dengan warna yang sama dengan badan bagi varian 1.8S dan 1.5TC, krom untuk 1.5TC-P. Lampu belakang berbentuk-boomerang (umpama sepit ketam) pula membuatkan Civic 2016 ini kelihatan garang dan lebih bergaya.
Jika varian 1.5 Turbo RS di Thailand dipadankan dengan dengan beberapa ciri unik seperti gril hadapan hitam berkilat, spoiler belakang penuh dan lencana RS, tetapi ia tidak akan ditawarkan di Malaysia. Walau bagaimana pun, Honda Malaysia akan menawarkan kit-kit badan pilihan dari Modulo untuk menyerlahkan lagi gaya Honda Civic 2016 menjadi berlipat kali ganda sporty.
Menambahkan lagi sisi istimewa bagi Honda Civic 2016, kesemua varian turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak sejauh 2.5 meter dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik. Malah ia juga ditampilkan dengan Kawalan Menghidup Enjin di mana enjin boleh dihidupkan dengan menggunakan butang kawalan pada kunci yang sekali gus akan menghidupkan penghawa dingin dan enjin. Teknologi ini juga ada pada model Accord facelift.
Tambahan pula bahagian kabinnya, pastinya varian 1.5TC-P lebih menarik perhatian kerana ciri premium menjalari segenap ruang. Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Ia turut menampilkan skrin bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan serta penghawa dingin dua-zon.
Harga Honda Civic 2016
Ciri-ciri Honda Civic 2016 kali ini memang mecuri tumpuan dan hati. Semoga info yang diberikan dapat membantu anda dalam mengenali Honda Civic 2016.
Sumber - Honda Malaysia, Paultan.Org