Kapal Minyak Libya Dan Kapal Pukal Singapura Berlanggar Di Timur Laut Pulau Batu Putih. Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura menerima laporan bahawa sebuah kapal tangki minyak yang berdaftar di Libya, 'Alyarmouk', berlanggar dengan sebuah kapal pengangkut pukal yang berdaftar di Singapura, 'Sinar Kapuas', di perairan republik ini kira-kira 11 batu nautika di timur laut Pedra Branca (Pulau Batu Putih).
Dalam kenyataannya, MPA berkata ia menerima laporan itu pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Katanya Alyarmouk melaporkan satu daripada tangki kargonya mengalami kerosakan dan menyebabkan berlaku tumpahan minyak mentah.
Sejurus selepas menerima laporan itu, MPA menghantar sebuah helikopter untuk menilai keadaan dan gerakan untuk menangani tumpahan minyak juga diaktifkan, kata kenyataan itu.
Sejajar dengan prosedur operasi standard bagi urusan menangani tumpahan minyak di Selat Melaka dan Selat Singapura secara bersama, MPA memaklumkan tentang kejadian itu kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia.
Kapal yang terlibat dalam pelanggaran itu kini berlabuh dengan selamat dan berada dalam keadaan stabil.
MPA mengeluarkan nasihat pelayaran agar kapal yang belayar berhampiran kawasan kejadian supaya berwaspada, kata kenyataan itu.
Tiada laporan tentang kecederaan dan kejadian itu tidak menjejaskan keadaan trafik di pelabuhan dan di Selat Singapura.
MPA sedang menyiasat punca kejadian -- BERNAMA