Komen Juri Profesional Kenapa Lagu Apa Khabar Jadi Juara AJL29
UnknownKenapa Lagu Apa Khabar Boleh Jadi Juara AJL29? Seperti peminat muzik sedia maklum, lagu Apa Khabar dendangan Joe Flizzow menampilkan SonaOne telah diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL29) ke-29 yang berlangsung malam tadi di Stadium Putra Bukit Jalil. Lagu berkenaan sebelum ini pernah dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21 yang diadakan tahun lalu.
Berikut komen dan pandangan Datuk Mokhzani Ismail, salah seorang juri profesional AJL29 anjuran TV3 ini, menghuraikan pandangan kenapa lagu Apa Khabar mengungguli AJL 29 di akaun laman Facebook miliknya. Selain Mokhzani, persembahan 12 finalis AJL 29 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Acis, Loque, Cat Farish, Azlan Abu Hassan dan Moots (Pop Shuvit) dan Azmeer bertindak sebagai ketua juri.
"Pemilihan lagu Apa Khabar sebagai juara amat tepat kerana ia mempunyai ciri-ciri bertaraf antarabangsa selain condong kepada bentuk lagu aliran terkini yang cukup kreatif daripada segi melodi yang bersahaja.
"Malah tag line lagu ini yang senang kita ingat iaitu aku tanya apa khabar. Keseluruhan melodinya juga mesra. Kalau dikupas liriknya satu persatu dapat dilihat dengan lebih jelas maksud yang Joe Flizzow rapkan.
"Ia bukan sekadar rap biasa yang tidak ketahuan biji butir tapi ia punya isi dan kekuatan . Lagu ini melarikan terus aliran lagu ala-ala percintaan dan bentuk yang stereotype. Bagi saya, mereka telah melonjakkan satu dimensi muzik baru dalam arena industri muzik Malaysia. Yang mampu diletakkan di arena muzik global," katanya.
Mokhzani berkata, memilih lagu terbaik dapat dilihat pada kreativiti melodinya dengan kupasan lirik dalam penyampaiannya.
"Impak lagu ini nampak hidup dalam genre yang dipilih. Penyanyi hanya sebagai penyampai. Apapun lagu yang baik datang dengan pakej yang melengkapi segala-galanya.
"Perlu diingat segala yang kita tengok atas pentas daripada aspek lain termasuk gubahan, set dan kreatif persembahan adalah nilai tambah semata-mata.
"Kesimpulannya walau genre apa sekalipun yang mereka pilih, kualiti tetap menjadi perkara utama. Karya seni ini tidak terbatas pada muzik mood ala-ala Melayu. Muzik Malaysia ini kalau boleh kita mahu ke pasaran antarabangsa .
"Kalau tak dia hanya berlegar-legar dari Perlis ke Sabah saja. Sebelum ini lagu balada lebih mendominasi AJL sedari dulu. Biasalah kebanyakan lagu balada terutamanya cepat meresap ke dalam jiwa pendengar. Melodinya balik-balik akan ke arah situ juga," katanya.
Mokhzani turut menjelaskan kebanyakan lagu balada cepat sampai ke jiwa terutamanya pendengar Melayu kerana jiwa Melayu dengan terma minor tak dapat dilarikan. Ia cepat menangkap telinga dan jiwa tetapi perlu kita sedar cabang atau genre muzik ini luas.
Katanya, kreativiti ini tidak terbatas pada satu genre dan peluang sama rata kepada yang terbaik daripada genre yang berbeza perlu diberikan. Lagu Apa Khabar katanya menyerlahkan bagaimana sesebuah lagu bentuk baru menjadikan ia unik kekuatannya dan lain dari yang lain.
"Yang balada ini kalau ia boleh melarikan dari kebiasaan, baru akan nampak kelainan. Bukan tak bagus. Kualitinya ada tetapi banyak sangat lagu sedemikian di pasaran. Malah kalau dipanggil juri luar negara pun pasti mereka melihat dari persepsi yang sama.
"Lagu terbaik perlulah kalau boleh mempunyai ciri standard pasaran antarabangsa. Sudah sampai masa kita ubah aliran. Menerima sesuatu yang luar dari kebiasaan mungkin susah tapi kalau tak dimulakan dari sekarang bila lagi kita akan berada di takuk lama.
"Ubah aliran kepada yang lebih baik sekurang-kurang ia sebagai satu anjakan atau lonjakan. Kadang-kadang apa yang kita minat itu sebenarnya kita menjurikan berdasarkan naluri kita sendiri dan tidak bolehlah kita memaksa semua hendak mengikut kehendak kita," katanya yang cukup terkesan dengan persembahan Mojo menampilkan penyanyi cacat penglihatan mendendangkan RomanCinta.
Mokhzani di akhir catatannya turut mengucapkan tahniah kepada pihak produksi AJL 29 dan TV3 atas penganjuran yang cukup gemilang itu.
"Tak lupa tahniah diucapkan kepada Dayang Nurfaizah. Tiada yang lebih layak untuk merangkul kategori Vokal Terbaik selainnya. Daripada awal buka mulut sampai akhir susah nak jumpa salah Dayang.
"Pitching, penghayatan dan keyakinan di atas pentas tidak goyang. Tahniah juga kepada pemuzik orkestra pimpinan Datuk Ramli MS yang sangat hebat dan juga pemenang lain. Semua komposer dan penyanyi yang bertanding amat saya kagumi bakat kalian," katanya.
0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →