Terengganu Uji Pemain Import Baru Jaime Braganca

Terengganu Uji Pemain Import Baru Jaime Braganca. Terengganu menguji seorang awang import kelahiran dari Lisbon, Portugal, Jaime Braganca bagi menggantikan tempat Hassan Moni Chaito yang ditamatkan kontrak akibat kecederaan.

Pengurus pasukan, Marzuki Sulong, berkata setakat ini hanya seorang pemain import berusia 31 tahun itu datang mencuba nasib menyarung jersi skuad Penyu.

Beliau berkata, pemain yang mewakili kelab Liga Brazil, Vila Nova akan menjalani latihan bersama skuad Penyu dan berada di negeri ini dalam tempoh satu atau dua minggu.

 "Masih terlalu awal untuk pasukan menilai kemampuan pemain ini dan kita menyerahkan kepada ketua jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim membuat keputusan," katanya di sini, hari ini.


Jaime BragancaMarzuki yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, pihaknya berharap dapat mengikat seorang awang import yang terbaik bersesuaian dengan corak permainan Gustavo Lopez dan Paulo Rangel.

Beliau berkata, selepas pasukannya kehilangan Hassan Moni, Terengganu cuba mengikat seorang daripada dua pemain terbaik Asia Tenggara, 'Messi Thailand', Chanathip Songkrasin dan pemain tengah Australia, Massimo Luongo untuk memperkuatkan pasukan itu.

Begitupun, katanya hajat skuad Penyu itu gagal selepas rundingan awal mendapati kedua pemain itu baru mengikat kontrak dengan kelab masing-masing dan perlu mengeluarkan perbelanjaan besar jika mahu untuk mendapatkan seorang daripada mereka.

"Memang pada dasarnya dua pemain itu calon terbaik bagi menggantikan Hassan Moni yang ditamatkan kontrak lebih awal akibat kecederaan.

"Pemain lincah Thailand yang mendapat jolokan 'Messi Thailand' kini terikat bersama pasukannya, BEC Tero Sasana manakala bekas pemain Tottenham Hotspur, Luongo dengan kelab, Swindon Town.

"Selain dua pemain berusia 22 dan 23 tahun ini, pemain lain dari beberapa negara Asia Tenggara berada dalam perancangan bagi mencari seorang pemain yang mampu memberi impak kepada pasukan," katanya - BH online

0 comment... add one now